Pengasuh ditahan disyaki dera kanak-kanak lelaki enam tahun hingga mati

Bernama
Mac 4, 2025 18:40 MYT
Rusdi (foto) berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur yang merawat kanak-kanak malang berkenaan selepas dihantar oleh pengasuh. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan reman pasangan suami isteri yang merupakan pengasuh selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Kepong, semalam.

Ringkasan AI
  • Polis menahan reman pasangan suami isteri yang merupakan pengasuh selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun sehingga menyebabkan kematian di Kepong.
  • Kanak-kanak itu dihantar ke wad kecemasan HKL oleh pengasuh, dan hasil bedah siasat menemui 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan, dan kaki akibat hentakan benda tumpul.
  • Suspek lelaki bekerja sebagai penunggang p-hailing dan wanita sebagai pengasuh sepenuh masa, menjaga mangsa bersama tiga anak kandung mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan berusia 37 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat kanak-kanak malang berkenaan selepas dihantar oleh pengasuh.
"Kanak-kanak itu dihantar oleh pengasuh ke wad kecemasan HKL kira-kira 7.30 pagi semalam dan hasil bedah siasat menemui 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan, dan kaki yang dipercayai akibat hentakan benda tumpul.
"Susulan itu, polis menahan reman pengasuh dan suaminya, yang kedua-duanya berusia 25 tahun, sehingga 7 Mac ini bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Rusdi berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki bekerja sebagai penunggang p-hailing dan wanita terbabit hanya bekerja sebagai pengasuh sepenuh masa serta mengasuh mangsa bersama tiga anak kandungnya yang masing-masing berumur tujuh, enam dan empat tahun.
"Kanak-kanak lelaki itu dijaga oleh pengasuh dan tinggal bersama mereka sejak 21 Jan lepas dan hanya dilawat oleh ibunya berusia 27 tahun seminggu sekali.
"Ibunya membayar RM800 sebulan kepada pengasuh terbabit dan terpaksa menghantar anaknya kerana bekerja syif serta sudah bercerai dengan suaminya," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian.
-- BERNAMA
#dera kanak-kanak #Rusdi Mohd Isa #pengasuh #20 kecederaan
;