Pengasuh direman bantu siasatan kes dera bayi 10 bulan

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 13, 2018 16:20 MYT
Ibu bayi itu datang semula mengambil anaknya pada jam 9.30 malam dan ketika itu beliau ternampak kesan lebam pada pipi anaknya itu.
Seorang wanita berusia 40-an direman hari ini bagi membantu siasatan kes dera seorang bayi perempuan berusia 10 bulan.
Suspek yang juga pengasuh bayi terbabit direman tiga hari sehingga 15 Ogos.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, suspek ditahan lewat petang semalam di Pusat Jagaan kanak-kanak di Kuala Kedah.
Menurut Mohd Rozi, bayi terbabit dihantar oleh ibunya pada jam 11 pagi (11 Oktober) sebelum beliau pergi berniaga.
Ibu bayi itu datang semula mengambil anaknya pada jam 9.30 malam dan ketika itu beliau ternampak kesan lebam pada pipi anaknya itu.
Keesokannya (semalam) beliau menanyakan kepada pengasuh dan wanita itu memaklumkan anaknya digigit nyamuk.
Tidak berpuas hati, ibu bayi terbabit membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.
Namun dia terkejut apabila doktor memaklumkan yang anaknya bukan mengalami alahan tetapi berkemungkinan besar didera berikutan kesan lebam pada bahagian pipi kiri dan kanan.
Kemudiannya ibu bayi itu membuat laporan polis di Balai Polis Langgar dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
#bayi #dera #Kanak-kanak #pengasuh #polis #reman #siasatan #suspek #wanita
;