Pengasuh didakwa bunuh kanak-kanak perempuan tiga tahun
Bernama
Mac 12, 2025 12:47 MYT
Mac 12, 2025 12:47 MYT
Pengasuh, Nur Nabilah Sekh Ruslan dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun. - Foto Bernama
KUANTAN: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, bulan lepas.
Ringkasan AI
- Seorang pengasuh, Nur Nabilah Sekh Ruslan, didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Bukit Rangin Damai.
- Kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mei.
- Kanak-kanak tersebut meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan dipercayai akibat didera, dan enam individu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32, berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak itu di sebuah rumah di Bukit Rangin Damai, Perumahan Bukit Rangin di sini antara 6 petang hingga 8 malam 17 Feb lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Ellyna Othman kemudian menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Pada 27 Feb lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 20 Feb lepas dipercayai akibat didera, yang menyaksikan enam individu berusia lingkungan 17 hingga 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
#pengasuh didakwa
#bunuh kanak-kanak perempuan
#Nur Nabilah Sekh Ruslan
#Bukit Rangin Damai
#terkini