Pengasuh di rumah akan terus dipantau
Rahimah Abdullah
Julai 23, 2018 16:39 MYT
Julai 23, 2018 16:39 MYT
Kerajaan bercadang untuk menambah baik akta sedia ada termasuk Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan dapat dilakukan ke atas pengasuh di rumah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu akan dapat dilakukan dengan kerjasama kementerian-kementerian lain.
“Memang kita nak buat penambahbaikan dan kita ada pasukan khas, ini merentasi kementerian, bukan sahaja KPWKM. Kes Adam Rayqal juga mengambil kira siasatan polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara selain kita mesti bekerjasama sebab ia merentasi.
"Sekarang ini kita kena bekerjasama untuk menambah baik akta-akta yang ada,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.
Dr Wan Azizah mengakui ada kekangan pada akta terlibat untuk memantau tempat asuhan.
“Saya berbincang dengan Jabatan Peguam Negara memang kemungkinan kita adakan rakaman litar tertutup (CCTV) atau apa yang boleh dilihat sebagai sekurang-kurangnya kita tahu aktiviti pengasuh dengan bayi. Buat masa ini, jika berlaku apa-apa tiada saksi,” tambahnya.
Susulan itu katanya, satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi mengkaji masalah melibatkan tempat asuhan secara menyeluruh dengan kerjasama kementerian berkaitan.
“Kita dalam perancangan (mewujudkan jawatankuasa) sebab ia melibatkan kementerian-kementerian lain,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menggesa pengasuh di rumah supaya mendaftar dengan kementerian bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan berkesan.
“Memang kita menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Namun, kita mempunyai kekangan kerana kita tidak tahu tempat asuhan ini tidak berdaftar tetapi mengambil anak asuhan. Ini berlaku pada tempat-tempat seperti berlaku kemalangan atau kematian anak-anak berlaku. Kita nak mereka mendaftar kerana sukar untuk kita memantau aktiviti dan bagaimana cara mereka menjaga anak asuhan,” kata beliau lagi.
Pada 4 Julai lalu, mayat bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui di dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di kediaman pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves kira-kira jam 11 malam.
Paling terbaharu, Naufal Amsyar Nabil Fikri,10 bulan, meninggal dunia 21 Julai lalu selepas cedera parah di kepala dipercayai akibat terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya.
#Adam Rayqal
#Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984
#CCTV
#Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Jabatan Peguam Negara
#KDN
#kerajaan
#KPWKM
#majlis belia malaysia
#tambah baik