Pengasuh Adam Rayqal didakwa

Astro Awani
Julai 13, 2018 11:34 MYT
Noor Aqilah Abd Rahman, 33 tahun, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan. - Foto Astro AWANI
Pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di dalam peti sejuk didakwa di mahkamah sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan kepala dan melupuskan mayat mangsa, awal bulan ini.
Noor Aqilah Abd Rahman, 33 tahun, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Syafeera Mohd Said.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal, didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala kanak-kanak berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
BACA: Kematian Adam Rayqal satu kekejaman luar biasa, di luar norma kemanusiaan
BACA: Bayi 'diculik' dijumpai mati dalam peti sejuk pengasuh
Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa dan menyebabkannya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.
#Adam Rayqal Mohd Sufi #Akta Kanak-kanak 2001 #didakwa #Kanun Keseksaan #Noor Aqilah Abd Rahman #pengasuh #peti sejuk
;