Pengasas Sugarbook ditahan

Afiezy Azaman
Februari 17, 2021 06:02 MYT
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai pengasas aplikasi Sugarbook yang didakwa digunakan bagi tujuan tidak bermoral. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai pengasas aplikasi Sugarbook yang didakwa digunakan bagi tujuan tidak bermoral.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, tangkapan dibuat di pekarangan sebuah kondominium di Dutamas, di sini.
“Suspek yang berusia 34 tahun ditahan pada 4.30 petang. Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Shah Alam, pada Khamis.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai pengasas kepada aplikasi Sugarbook,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Baru-baru ini, masyarakat gempar apabila Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.
Aplikasi itu didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.
BACA: SKMM sekat laman web Sugarbook
VIDEO: Sugarbook | Agensi agama sedia bantu mahasiswa Islam terjebak
Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.
Polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran.
#sugarbook #Darren Chan #Fadzil Ahmat #Mahkamah Shah Alam #SKMM #pelacuran #mahasiswa #palajar universiti #perempuan simpanan #sugar baby
;