Pengasas Mamee Monster meninggal dunia
Astro Awani
November 7, 2022 18:02 MYT
November 7, 2022 18:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pengasas syarikat pengeluar produk Mamee Monster, yang merupakan snek makanan ringan, meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Memetik laporan Sin Chew Daily, Datuk Pang Chin Hin menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.03 pagi, Sabtu (5 November).
Mendiang meninggalkan tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Pang memulakan karier sebagai penjual kereta terpakai sebelum beliau membuka sebuah kilang kecil di Melaka khusus untuk menghasilkan mi segera pada tahun 1971.
Pada tahun 1972, syarikat berkenaan melancarkan produk pertamanya yang dikenali sebagai Lucky Instant Noodle.
Jenama ini dilaporkan tidak mendapat sambutan komersial.
Pada tahun 1974, anak lelaki beliau memulakan perniagaan snek mi segera selepas memerhatikan bagaimana sekumpulan penoreh getah menikmatinya terus dari bungkusan.
Mendiang dan anaknya kemudian menghasilkan snek mi segera dengan perisa tambahan.
Sehingga kini, Mamee Monster masih menjadi snek kegemaran masyarakat Malaysia.