Pengasas kosmetik menang saman fitnah RM50,000

Sinar Harian
November 26, 2023 19:45 MYT
Nurul Huda (kanan) bersama suami hadir untuk mendengar keputusan kes. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang pengasas kosmetik menang saman fitnah RM50,000 ke atas dua individu termasuk seorang anggota polis berpangkat sarjan di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad.
Keputusan dibuat Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas membenarkan tuntutan plaintif, Nurul Huda Mazelam, 27, terhadap Sarjan Hazwan Amir Ishak, 33, (defendan pertama) dan Norazlinda Abu Othman, 43, (defendan kedua).
“Mahkamah memutuskan tuntutan plaintif dibenarkan dengan ganti rugi sebanyak RM50,000 dan kos serta faedah diberikan kepada plaintif.
“Keseluruhan tuntutan balas pihak defendan juga gagal dibuktikan dan ditolak dengan kos dibayar oleh defendan kepada plaintif,” katanya.
Nurul Huda memfailkan saman pada 21 Mac 2021 menerusi Tetuan Mariana & Co.
Berdasarkan penyata tuntutan, plaintif yang memiliki 119,966 pengikut di laman sosial Facebook dan 227,200 di laman sosial Tiktok difitnah oleh defendan melalui dalam talian pada tahun 2020.
Penyiaran dan penerbitan status oleh defendan di laman sosial Facebook defendan kedua tersebut, terdapat komen-komen berunsur mengugut, mencaci, memalukan dan mengutuk plaintif dengan nada yang keras dan merujuk kepada plaintif sebagai ‘perampas suami orang’ sedangkan perkara itu tidak benar, memalukan dan dengan niat jahat menjatuhkan maruah serta reputasi plaintif.
Akibat penyiaran dan penerbitan status itu juga, plaintif mendapat pelbagai mesej peribadi yang mengugut dan mencaci plaintif dengan tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas.
Plaintif diwakili peguam, Intan Nor Nadhirah Ismail dan Mariana Mat Kudin manakala defendan-defenden diwakili peguam, Shaharudin Ali. - Sinar Harian
#saman fitnah #pengasas kosmetik #Kelantan #Nurul Huda Mazelam
;