Pengasas KK Mart, Kapten Batik antara penerima anugerah SEBA Awards 2024

Astro Awani
November 17, 2024 18:01 MYT
Majlis penuh gilang-gemilang yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
KUALA LUMPUR: Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Chai Kee Chan dan Pengasas Kapten Batik, Farhan Omar merupakan antara usahawan yang menerima anugerah pada SEBA Awards 2024 edisi ke-11.
Dalam majlis tersebut, Kee Chan diberikan Anugerah Usahawan Terbaik Tahun 2024 manakala Farhan pula memenangi Anugerah Usahawan Fesyen Terbaik Tahun 2024.
Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia dan Pengasas SEBA Awards, Datuk Nitesh Malani, berkata, anugerah itu memberi pengiktirafan kepada penggiat industri keusahawanan di rantau ASEAN.
Menurutnya, ia memberi pengiktirafan kepada pemimpin dan pelopor industri yang berjaya memperluaskan peluang dalam pelbagai bidang keusahawanan seperti pertanian, pembinaan, runcit, teknologi, kewangan, kesihatan, dan hartanah.
“Langkah ini mengukuhkan lagi komitmen SEBA untuk memupuk pertumbuhan dan kecemerlangan di rantau ASEAN.
“SEBA Awards memberi inspirasi buat usahawan untuk melangkaui batasan, meningkatkan standard industri, dan menyumbang kepada masyarakat ASEAN yang berdaya tahan dan saling berkomunikasi.
“SEBA telah benar-benar berkembang ‘Melangkaui Batasan’ dalam skop dan impaknya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Majlis penuh gilang-gemilang yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Dalam pada itu, Nitesh berkata, SEBA akan meneruskan misinya untuk memperjuangkan keusahawanan dengan Edisi Utara akan berlangsung di Pulau Pinang pada Februari 2025 diikuti Edisi Borneo pada Jun 2025.
“Fasa seterusnya ini menandakan komitmen SEBA dalam memupuk kecemerlangan perniagaan serantau dan inovasi di seluruh Malaysia dan ASEAN,” katanya.
#kk mart #Kapten Batik #SEBA Awards 2024 #anugerah
;