Pengasas bersama syarikat penerbangan direman empat hari
Afiezy Azaman
Oktober 18, 2023 12:40 MYT
Oktober 18, 2023 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Polis telah mendapat perintah reman selama empat hari berhubung penahanan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar 'Datuk' serta isteri dan anak lelakinya, bermula Rabu.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, pada Rabu.
"Permohonan remah ke atas tiga individu tersebut dilaksanakan pada jam 10 pagi di Lokap Berpusat Jinjang Kuala Lumpur," katanya ringkas dalam satu kenyataan.
Pada Selasa, media tempatan melaporkan penahanan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar 'Datuk' serta isteri dan anak lelakinya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mereka ditahan bagi membantu siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
"Datuk berkenaan yang berusia 57 tahun bersama isteri, 55, dan anaknya, 26, ditahan di rumah mereka di Shah Alam pada jam 5.30 petang," katanya.