Pengarang buku kontroversi, Kean Wong diberkas polis
Umavathi Ramayah
Oktober 17, 2023 20:35 MYT
Oktober 17, 2023 20:35 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan memberkas pengarang buku bertajuk Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia, Kean Wong yang diburu sejak tiga tahun lalu kerana dipercayai menghina jata negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Kean, 58 tahun yang dipercayai menetap di Sydney, Australia ditahan di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Kelana Jaya ketika memperbaharui pasportnya, pada Isnin.
"Namun suspek dibebaskan pada Selasa selepas direman satu hari," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mohd Shuhaily memberitahu, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menjelaskan sehingga kini siasatan masih lagi dijalankan dan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan.
"Kita turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensatif terutamanya melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara," ujarnya.
Sebelum ini sebuah akhbar tempatan yang memetik peguam, Ivan Teng berkata, Kean Wong direman sehari atas tiga alasan iaitu untuk merakam keterangan, mengumpul data, mesej dari tempoh tiga tahun lalu pada telefon bimbit dan mengambil cap jari serta gambar.
Pada 10 Julai 2020, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis sedang mengesan Kean Wong bagi membantu siasatan berhubung kontroversi kulit buku berkenaan.
Menurutnya, siasatan berhubung penerbitan buku itu dimulakan sejak 29 Jun 2020 susulan beberapa laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara.
Polis turut merakam keterangan beberapa individu termasuk pelukis, penerbit dan pencetak buku berkenaan.
Ketika siasatan dijalankan, Kean Wong dilaporkan berada di Australia dan polis memaklumkan dia memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu.