Pengarah Yayasan Islam Terengganu meninggal dunia
Bernama
November 30, 2021 18:53 MYT
November 30, 2021 18:53 MYT
KUALA TERENGGANU: Pengarah Yayasan Islam Terengganu Johan Ibrahim meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada 12.58 tengah malam tadi.
Allahyarham yang berusia 58 tahun meninggalkan seorang balu, Roslina Nik, 58 dan lima anak berusia antara 19 hingga 29 tahun.
Anak kedua Allayarham, Mohd Rafiuddin Jazlan, 27, berkata bapanya dimasukkan ke wad HSNZ selepas disahkan positif COVID-19 sembilan hari lepas.
"Memang sangat terkejut dengan berita ini namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya. Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Tok Nasek, di sini pada 11.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Yayasan Islam Terengganu berkuat kuasa pada 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2022.
-- BERNAMA