Pengarah urusan, pengurus besar syarikat konsesi pengiklanan direman lima hari

Bernama
September 10, 2024 17:50 MYT
Dua suspek berusia 46 dan 48 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
MELAKA: Seorang pengarah urusan dan pengurus besar sebuah syarikat konsesi pengiklanan di Shah Alam, Selangor direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan rasuah.
Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan permohonan reman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Kedua-dua lelaki berusia 46 dan 48 tahun itu ditahan pada 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan dipercayai mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu iaitu laporan iklan paparan luar di seluruh Melaka kepada sebuah agensi kerajaan negeri.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2021 hingga kini dengan memberikan laporan yang mempunyai butir matan palsu kepada agensi itu.
Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, media melaporkan dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini didapati tidak mempunyai lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan berkemungkinan disebabkan tidak mengikut prosedur pemasangan ditetapkan.
-- BERNAMA
#SPRM #syarikat pengiklanan #kes rasuah #Melaka
;