Pengarah syarikat rugi RM2.1 juta terperdaya penipuan pelaburan tidak wujud

Bernama
Februari 4, 2025 23:04 MYT
Mangsa tertarik dengan tawaran platform berkenaan berhubung pelaburan matawang kripto yang dijumpai menerusi iklan di laman Facebook.
SHAH ALAM: Seorang Pengarah Syarikat kerugian RM2.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud di platfrom Digzax Exchanger.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia 77 tahun itu tertarik dengan tawaran platform berkenaan berhubung pelaburan matawang kripto yang dijumpai menerusi iklan di laman Facebook pada Ogos tahun lalu.
"Mangsa warga tempatan telah berhubung dengan suspek melalui WhatsApp untuk menyertai pelaburan berkenaan dan telah mendaftar melalui satu pautan di dalam talian.
"Mangsa seterusnya telah membuat 26 transaksi ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM2,118,810.00 kerana telah dijanjikan keuntungan yang lumayan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussein berkata selepas pindahan wang dilakukan mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan telah diminta suspek untuk membayar cukai berjumlah RM1.2 juta bagi mengeluarkan keuntungan daripada platform tersebut.
"Oleh itu mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis di daerah Kajang," katanya.
Hussein dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah khususnya menerusi aplikasi telefon bimbit yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.
Kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan.
-- BERNAMA
#scam #pelaburan tidak wujud #mangsa kerugian #Facebook #sindiket penipuan #polis
;