Pengarah syarikat jadi proksi dapatkan projek GLC lebih RM1 juta direman
Astro Awani
Januari 10, 2023 17:28 MYT
Januari 10, 2023 17:28 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat swasta direman empat hari bermula Selasa kerana disyaki menjadi proksi kepada pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mendapatkan projek lebih RM1 juta.
Perintah reman sehingga Jumaat depan itu dikeluarkan Majistret Salini Retanam di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor, kira-kira pukul kira-kira 11.35 malam Isnin selepas keterangannya direkodkan.
Difahamkan, suspek telah menjadi proksi kepada pengarah GLC terbabit dalam mendapatkan kontrak-kontrak daripada GLC berkenaan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.