Pengarah syarikat, dua pekerja didakwa seleweng lebih 30,000 liter diesel

Bernama
November 16, 2023 16:50 MYT
Pengarah syarikat serta dua pekerja kapal tangki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeleweng lebih 30,000 liter minyak diesel. - Gambar/ Bernama
SEREMBAN: Seorang pengarah syarikat serta dua pekerja kapal tangki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyeleweng lebih 30,000 liter minyak diesel, Jumaat lepas.
Pengarah syarikat KIJ Global Sdn Bhd Nazrulkamal Mohamad, 41, bersama dua lagi yang masih bebas didakwa memiliki barang kawalan berjadual 36,654 liter minyak diesel dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong tanpa lesen.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jeti Aquatred and Services Sdn Bhd, Bengkel Kampung Tanjung Agas, Pekan Pasir Panjang, Port Dickson kira-kira 9 pagi pada 10 Nov lepas mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.
Dua pekerja kapal tangki Wong Chew Yuan, 61, dan seorang warga Indonesia, Warsito, 36, turut didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu di tempat dan waktu sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, syarikat KIJ Global Sdn Bhd turut didakwa atas kesalahan sama mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2 juta, manakala kesalahan kali kedua atau berulang didenda tidak melebihi RM5 juta.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan Nazrulkamal diikat jamin RM25,000 manakala Wong dan Warsito dikenakan ikat jamin RM15,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin, dan hakim kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 18 Dis ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Sophian Zakaria dan Nor Alimah Mohd Sanusi manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#seleweng diesel #kpdn #kapal tangki #pendakwaan di mahkamah
;