Pengarah syarikat ditahan beri rasuah percepat tuntutan subsidi ayam, telur RM600 juta
Bernama
Oktober 20, 2023 15:53 MYT
Oktober 20, 2023 15:53 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat dipercayai memberi suapan RM17,000 kepada pegawai di sebuah kementerian bagi mempercepatkan bayaran tuntutan subsidi ayam dan telur kira-kira RM600 juta sejak Mei lalu.
Turut ditahan bersama pengarah tersebut ialah pekerja lelakinya berusia lingkungan 30-an.
Menurut sumber, pengarah syarikat berusia lingkungan 40-an tersebut yang juga merupakan presiden persatuan berkaitan penternakan telah ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Tambah sumber, bagi tempoh lima bulan sejak Mei lalu, bayaran subsidi yang telah dilunaskan berjumlah RM600 juta melibatkan lebih 300 syarikat penternakan ladang ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara.
Susulan penahanan tersebut, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 22 Oktober 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.