Pengarah syarikat ditahan beri rasuah 'meja snuker, ping pong'
Sinar Harian
Februari 17, 2024 13:33 MYT
Februari 17, 2024 13:33 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mereman seorang pengarah syarikat kerana disyaki memberi suapan berjumlah kira-kira RM13,000.
Sumber berkata, wang suapan itu diberikan kepada jurutera sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak dengan sebuah jabatan di negeri ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 3 pagi pada Jumaat di SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
"SPRM sebelum ini telah mereman seorang jurutera kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM13,000 daripada kontraktor pada pertengahan tahun 2022.
"Suspek dipercayai telah menggunakan wang yang diberikan itu untuk membeli sebuah meja snuker dan sebuah meja ping pong bagi ditempatkan di pejabatnya," katanya pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Kata beliau, perintah reman selama lima hari bermula Jumaat sehingga 20 Februari 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Shyahirah Abdul Salim selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang.
Menurutnya, suspek telah diwakili peguam dari Yayasan bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian