Pengarah syarikat didakwa beri rasuah RM100,000 kepada penguat kuasa KPDNHEP

Shuhada Abdul Kadir
Mac 23, 2021 12:20 MYT
Sogokan berkenaan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik sebuah syarikat. - Astro AWANI
SEREMBAN: Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan cuba memberi suapan RM100,000 kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan tahun lalu.
Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguatkuasa.
Sogokan berkenaan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019
Kesalahan itu dilakukan pada 4 Februari 2020 di sebuah restoran di Seremban 2.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Surita kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya SPRM, Azriff Firdaus Mohamad Ali.
#Rasuah #Mahkamah Sesyen #KPDNHEP #pengarah syarikat #Mahkamah Sesyen Seremban #Viss Motor Parts Sdn Bhd #Wong Yeng Fart
;