Pengarah syarikat bergelar Datuk didakwa pecah amanah lebih RM5 juta
Abd Razak Mohd Ali
Februari 18, 2022 13:03 MYT
Februari 18, 2022 13:03 MYT
IPOH: Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan harta dana dari Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bernilai lebih RM5.182 juta, tahun lalu.
L Ragu Raman, 52 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.
Mengikut kertas pertuduhan, dia sebagai seorang ejen iaitu Pengarah Syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta dana dari Unit MITRA didakwa telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah.
Lima pertuduhan itu yang melibatkan RM5.062 juta didakwa dilakukan pada 29 Januari 2021 manakala satu pertuduhan melibatkan RM120,000 didakwa dilakukan pada 18 Ogos 2021.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, Peguam S Preakas yang mewakili Ragu Raman memohon supaya jaminan lebih rendah atas alasan pendakwaan terhadap anak guamnya itu adalah bersifat mala fide (berniat jahat).
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.