Pengarah syarikat badan berkanun disiasat atas tuduhan gangguan seksual

Firdaus Azil
Ogos 18, 2024 23:52 MYT
Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki bertugas sebagai pengarah bukan eksekutif di sebuah syarikat badan berkanun sedang disiasat di atas dakwaan membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita. - Foto hiasan/PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki bertugas sebagai pengarah bukan eksekutif di sebuah syarikat badan berkanun sedang disiasat di atas dakwaan membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar dalam kenyataan pada malam Ahad berkata, individu tersebut didakwa terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara di sini.
Beliau berkata pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa berusia 20-an pada 6 Ogos lepas yang mendakwa beliau diganggu secara seksual sebanyak dua kali oleh suspek ketika berada di pasar raya itu.
Tambahnya lagi, berkata pihaknya juga mengesan satu video tular di media sosial berdurasi 18 saat berhubung dakwaan itu pada 2 petang tadi.
Siasatan terperinci dilakukan mengikut Seksyen 507 A dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Shahrulnizam berkata polis akan merakam keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan dan individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
#gangguan seksual #kertas siasatan #bekas Ahli Parlimen #pasar raya #Kota Damansara