Pengarah, pengurus dan syarikat didenda RM791,775 perdagang barangan tiruan

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 5, 2022 13:43 MYT
Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu menjatuhi hukuman denda berjumlah RM791,775 terhadap dua pengarah, seorang pengurus dan syarikat mereka selepas didapati bersalah memperdagangkan 17,595 pasang selipar dan kasut tiruan, tiga tahun lalu.
IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu menjatuhi hukuman denda berjumlah RM791,775 terhadap dua pengarah, seorang pengurus dan syarikat mereka selepas didapati bersalah memperdagangkan 17,595 pasang selipar dan kasut tiruan, tiga tahun lalu.
Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas mendapati Yap Kian Seng, 60; Yap Yin Keat, 50; Sun Haixia, 40, dan syarikat Enghenda Sdn. Bhd., bersalah terhadap empat pertuduhan.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama berada dalam kawalan untuk pembekalan barangan dengan perihal dagangan palsu, berupa 17,595 pasang selipar serta kasut jenama terkenal, Nike, Puma, Gucci dan Levis.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis tanpa nama di Kawasan Perindustrian Menglembu, Ipoh, kira-kira jam 11.30 pagi, 18 Disember 2019.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2)(B) akta sama.
Sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM175,950 kepada setiap mereka atau penjara dua tahun jika gagal membayar denda.
Enghenda Sdn. Bhd pula didakwa di bawah Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2)(A) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM263,925 ke atas syarikat itu.
Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam untuk menangguhkan hukuman tersebut, sehingga proses rayuan selesai.
Sementara kesemua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM50,000 setiap seorang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Muhammad Ridzuan Abd Rahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Asri Osman dan Mohd Fitri Asmuni.
#barangan tiruan #jenama terkenal #pengarah syarikat didenda #Enghenda Sdn Bhd
;