Pengarah, pelakon Majed Salleh meninggal dunia
Sinar Harian
Oktober 6, 2023 11:45 MYT
Oktober 6, 2023 11:45 MYT
PENGARAH dan pelakon Majed Salleh meninggal dunia pada usia 65 tahun pada jam 6.22 pagi Jumaat.
Berita pemergian aktor popular 90-an dan 2000-an itu dikongsikan adik iparnya, penyanyi Shiha Zikir.
“Abang ipar saya, Abdul Majed Bin Mohd Saleh telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi (Jumaat).
“Mohon sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham, semoga diampunkan segala dosa-dosanya dan tergolong bersama golongan beriman,” coret Shiha.
Dalam pada itu, Shiha menzahirkan seolah tidak percaya dengan kehilangan abang iparnya.
“Masih tak percaya, rasa nak delete balik post tadi," titip Shiha.
Pada Mei lalu, portal berita tempatan melaporkan Allahyarham telah dimasukkan ke hospital susulan lemah jantung apabila fungsi organ itu hanya tinggal 25 peratus sahaja.
Beliau juga telah menjalani pembedahan memasukkan perentak jantung di Hospital Serdang.
Majed terkenal dengan lakonan dan arahan drama rantaian popular, Gerak Khas dan Metro Squad serta filem Tragedi Oktober, Bara dan KL Gangster: Underworld. - Sinar Harian