Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO meninggal dunia
Astro Awani
Ogos 18, 2024 21:04 MYT
Ogos 18, 2024 21:04 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman meninggal dunia pada Ahad.
Rozaid, 60, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Sebelum ini, Allahyarham menerima rawatan di Hospital Serdang sejak 1 Julai lalu akibat masalah jantung, dan telah dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lalu.
"Pejabat Perdana Menteri (PMO) dengan dukacita memaklumkan bahawa Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di PMO, Rozaid Abdul Rahman telah meninggal dunia pada petang tadi kerana masalah jantung di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya," kata PMO dalam satu kenyataan.
"Allahyarham dilantik menjawat tugasan tersebut pada 23 Mei 2023.
"Pejabat Perdana Menteri mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan, dan diampunkan segala dosa Almarhum serta diberi tempat istimewa di sisiNya," kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam ciapan di platform X menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas.
Malah katanya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan amat besar buat industri media, serta sememangnya dirasai dan ditangisi.
"Seorang yang ramah, suka membantu rakan-rakan dan sangat dihormati. Pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar buat industri media, serta sememangnya dirasai dan ditangisi.
"Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa dan kurniakan syurga buatnya. Takziah kepada seluruh anggota keluarga serta sahabat handai allahyarham," katanya.