Pengarah Kesihatan Kedah sahkah kematian Amirah kerana kencing tikus
Astro Awani
Disember 6, 2014 20:26 MYT
Disember 6, 2014 20:26 MYT
Kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar malam tadi dipercayai di serang penyakit kencing tikus (virus Leptospirosis) selepas mandi di Titi Hayun, Salak Denai, Yan pada 27 November lalu.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail dalam satu kenyataan mengesahkan kanak-kanak tersebut dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah pada Selasa lalu.
Mangsa, Amirah Maisarah Zir Omar Khan, 8 tahun dimasukkan ke wad tersebut disebabkan demam panas dan sawan.
"Mangsa dirawat oleh pakar kanak-kanak dengan diberikan antibiotik dan antiviral.
"Selain rawatan rapi, mangsa tidak menunjukkan tindak balas yang memuaskan dan telah meninggal dunia malam tadi pada jam 11.27 malam," katanya.
Jelas Dr. Norhizan, pemeriksaan awal mendapati kemungkinan kejadian ini disebabkan jangkitan Leptospirosis atau penyakit kencing tikus.
"HSB kini dalam tindakan menghantar sampel darah untuk dibuat ujian pengesahan jangkitan Leptospirosis di makmal Institut Penyelidikkan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur.
"Selain itu pihak hospital turut menjalankan ujian untuk demam denggi dan keputusan awal yang diperolehi adalah negatif selain kini sedang menjalankan siasatan lanjut," ujarnya.
Justeru itu tegasnya, pihaknya mengambil tindakan membina semula papan tanda amaran waspada berikutan papan tanda yang diletakkan sebelum ini dirosakkan.
Dalam pada itu jelasnya, pihaknya juga tidak akan menutup pusat rekreasi air berkenaan memandangkan penyakit Leptospirosis merupakan jangkitan zoonotik iaitu haiwan liar dalam persekitaran terbuka yang sentiasa terdedah kepada penyakit tersebut.
Tambahnya, pihaknya akan membuat siasatan terperinci terhadap ahli keluarga berkenaan untuk memastikan tahap kesihatan mereka dalam memastikan mereka diberikan rawatan sewajarnya.
Dr. Norhizan turut menasihati orang ramai agar mengelakan diri dari bermain air atau bermandi manda di sungai atau kolam.
"Jika terdapat luka kita minta mereka menampalkan menggunakan plaster kalis air.
"Apabila terdapat gejala demam, sakit kepala, sakit otot, loya atau muntah, dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi tempat‐tempat rekreasi, mereka hendaklah membuat pemeriksaan segera," jelasnya.
Jelasnya, pengunjung juga diminta menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan kehadiran perumah haiwan khususnya tikus.