Pengarah JSJ sedikit naif mengenai undang-undang Australia - TPM

Astro Awani
Mac 4, 2018 15:31 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan pegawai-pegawai polis ketika hadir pada Mesyuarat Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd disifatkan sedikit naif mengenai undang-undang Australia ketika menghantar wang untuk membiayai pengajian anaknya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Tindakan itu menyebabkan pihak berkuasa negara itu mengesyaki bahawa wang yang diperoleh merupakan dari sumber yahg tidak sah.
"Cuma, beliau mungkin naif membabitkan undang-undang berkaitan penghantaran wang pembiayaan itu kerana walaupun wang itu diperoleh hasil jualan rumah, namun ia melebihi daripada jumlah yang dibenarkan kerajaan Australia," katanya.
Undang-undang kerajaan Australia menetapkan bahawa setiap penghantaran wang melebihi AUD$10,000 (RM30,308) ke atas perlu memperoleh kebenaran khusus daripada pihak berkuasa negara itu.
Siasatan dalaman yang dilakukan Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada 2016 terhadap Wan Ahmad Najmuddin Mohd mendapati tiada sebarang kesalahan dilakukannya.
Ia sekali gus, menafikan laporan media Australia bahawa wang berkenaan adalah hasil pengubahan wang haram.
BACA: Tiada kesalahan, Wan Ahmad Najmuddin hanya jual rumah - KPN
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata hasil siasatan mendapati wang tersebut diperoleh hasil daripada penjualan rumahnya di Shah Alam yang pada waktu itu berharga RM700,000 (AUD 260,770).
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata setiap anggota dan pengawai PDRM perlu mengisytiharkan aset mereka kerana ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Memang sudah menjadi SOP untuk mereka istihar aset mereka setiap tahun, dan kemudian dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan seterusnya Perdana Menteri,” katanya lagi.
#Australia #Ketua Polis Negara #Malaysia #pengubahan wang haram #rumah #siasatan #SPRM #Timbalan Perdana Menteri #undang-undang #Wan Ahmad Najmuddin #Zahid Hamidi
;