Pengarah JPS Perlis, dua individu direman tujuh hari
Astro Awani
Januari 30, 2018 11:27 MYT
Januari 30, 2018 11:27 MYT
Seorang Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis bersama dua individu direman tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Seksyen di sini pada Selasa.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Norfadzilah Wan Ibrahim bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Tiga individu itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat kes rasuah dan salah guna kuasa.
Pengarah berusia 60 tahun itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek yang dianugerahkan oleh JPS negeri kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik sejak 2014 hingga 2017.
Dua lagi yang ditahan adalah pemilik syarikat, masing-masing berusia 50 dan 39 tahun, dipercayai bersubahat dengan pengarah tersebut.
Berdasarkan hasil siasatan, SPRM telah merampas RM3.8 juta, termasuk wang tunai berjumlah hampir RM900,000, di rumah salah seorang pemilik syarikat.
SPRM turut menyita empat akaun bank berjumlah RM2.9 juta, dipercayai diperolehi melalui wang rasuah dan salah guna kuasa.
Hasil siasatan awal mendapati pengarah tersebut juga menggunakan nama sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan untuk melaksanakan projek-projek yang dianugerahkan oleh JPS.
Suspek juga didapati menjalani kehidupan mewah hasil daripada wang rasuah yang diterima daripada kontraktor sejak 2014.
Difahamkan, siasatan turut mendapati, pengarah itu telah memindahkan sejumlah wang yang diperoleh dengan menyalahgunakan jawatannya itu ke beberapa akaun miliknya dan saudara-mara.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan terbabit dan siasatan dilakukan selepas SPRM menerima laporan berhubung tindakan pengarah itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
#Azam Baki
#Jabatan Pengairan dan Saliran
#JPS
#Kontraktor
#pemilik syarikat
#pengarah
#Perlis
#reman
#siasatan
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia