Pengarah jabatan kerajaan bebas tahanan reman SPRM dengan jaminan

Bernama
Jun 9, 2024 14:45 MYT
Individu berkenaan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Pengarah sebuah jabatan kerajaan yang remannya berakhir esok bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit, dibebaskan hari ini.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Rosli Husain berkata individu berkenaan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin.
Beliau berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17(a) Akta SPRM 2009.
Media sebelum ini melaporkan pengarah berusia 58 tahun itu disyaki meminta wang suapan berjumlah ratusan ribu ringgit sebagai imbuhan bagi meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan jabatan dan ditahan pada 5 Jun lepas selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.
-- BERNAMA
#SPRM #pengarah jabatan kerajaan #Kelantan #kes rasuah
;