Pengarah jabatan ditahan lulus tiket penerbangan untuk isteri, anak

Sinar Harian
Februari 15, 2022 18:09 MYT
Menurut sumber, suspek berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi ketika hadir di pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.- Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Seorang pengarah sebuah jabatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin, selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya ketika berkhidmat di sebuah kolej awam di Tawau.
Menurut sumber, suspek berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi ketika hadir di pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan jawatannya sebagai pengarah ketika bertugas di sebuah kolej awam antara 2017 hingga 2018 dengan meluluskan tiket penerbangan untuk isteri dan anaknya bernilai kira-kira RM6,000, walaupun mereka tidak layak untuk mendapat kemudahan tersebut.
Difahamkan suspek menggunakan kemudahan tiket kapal terbang itu bersama isteri dan anaknya ke Kuala Lumpur atas urusan kerja beberapa kali sedangkan kelayakan suspek hanya setahun sekali.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dilepaskan dengan bon jamin SPRM serta seorang penjamin.
"Suspek akan dituduh di Mahkamah Tawau pada 24 Februari ini,” katanya.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#pengarah jabatan #SPRM #lulus tiket kapal terbang #Rasuah #Sabah
;