Pengarah Imigresen KLIA meninggal dunia sewaktu bertugas

Sinar Harian
Julai 31, 2024 14:45 MYT
Saifuddin bersama keluarga Allahyarham di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang pada Selasa. - Sumber foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sadim Abdullah dilaporkan meninggal dunia sewaktu bertugas kira-kira jam 4.20 petang pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi satu hantaran dimuat naik di Facebook.
"Semalam kira-kira jam 4.20 petang, keluarga besar KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia menerima khabar mengejut yang amat mendukacitakan apabila Allahyarham Tuan Sadim Abdul meninggal dunia sewaktu dalam tugasan.
"Malam tadi saya bergegas ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang bagi menziarahi jenazah dan keluarga Allahyarham yang baru tiba dari Sabah," katanya pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, Allahyarham merupakan seorang yang komited dalam melaksanakan amanah dan disenangi ramai.
Dalam pada itu, Saifuddin mengakui pemergian arwah Sadim adalah satu kehilangan besar bagi semua pihak.
"Moga isteri dan empat orang anak Allahyarham, keluarga serta sahabat handai terus tabah menghadapi ujian ini.
"Marilah sama-sama kita doakan moga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa, diterima amalan dan ditempatkan di syurga bersama orang beriman serta beramal soleh, Insya-ALLAH. Al-Fatihah," ujarnya. - Sinar Harian
#Pengarah Imigresen KLIA #meninggal dunia #Saifuddin Nasution
;