Pengarah Hydroshoppe dapat pelepasan sementara pasport untuk ke UK

Bernama
September 3, 2024 15:21 MYT
Hakim Suzana Hussin membenarkan pelepasan sementara pasport kepada Abdul Hamid Shaikh. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Pengarah Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh bagi mendapatkan pasport sementara untuk menghantar anak melanjutkan pengajian dan lawatan kerja di United Kingdom (UK).
Hakim Suzana Hussin membenarkan pelepasan sementara pasport itu kepada Abdul Hamid Shaikh, 50, bermula hari ini selepas permohonan berkenaan tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Dr Ifa Sirrhu Samsudin.
Terdahulu, peguam Weera Premananda yang mewakili Abdul Hamid berkata pihaknya memohon pasport diserahkan kepada anak guamnya hari ini.
"Anak guam perlu menghantar anak dan lawatan kerja pada 10 Sept hingga 15 Nov ini," katanya.
Pada 5 April tahun lepas, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh menawarkan suapan itu kepada Tan bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh serupa.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
-- BERNAMA
#Pengarah Hydroshoppe #pasport sementara #Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh #United Kingdom #tawar suapan