Pengarah filem Mansor Puteh meninggal dunia akibat kemalangan

Umavathi Ramayah
Julai 7, 2024 14:22 MYT
Mansor Puteh meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas di Alam Damai, Cheras, pada Ahad.
KUALA LUMPUR: Pengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh, 70, meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Alam Damai, Cheras, di sini, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, kereta Proton Iswara yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas sendiri dan kemudian melanggar pembahagi jalan.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.
Sarifudin memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pengarah dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop dalam hantaran di akaun Facebooknya menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada dunia seni.
"Innalillahi wa inna ilaihi rajioun, saudara Mansor Puteh telah meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan. Satu lagi kehilangan buat warga seni. Al Fatihah," katanya.
Dalam hantaran itu, Al Jafree memuat naik gambar hitam putih yang memaparkan gambarnya bersama Allahyarham.
Berita duka itu turut dimaklumkan anak saudara arwah, Adeed Adillah Abdullah, di akaun Facebooknya.
"Salam semua, bagi yang mengenali uncle saya Mansor Puteh, beliau telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
"Jenazah sekarang berada di HUKM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz) bagi tujuan bedah siasat dan akan diuruskan di sana.
"Jenazah akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan lewat petang nanti setelah selesai semua.
"Mohon doakan uncle saya Mansor Puteh," tulis Adeed Adillah.
Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.
Allahyarham pernah mengarahkan filem berjudul "Seman" pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun di Residensi.
#mansor puteh #kemalangan #meninggal dunia #pengkritik filem
;