Pengarah ditahan disyaki curi sumbu badak milik Muzium Diraja Johor

Bernama
Disember 26, 2015 13:12 MYT
Kehilangan sumbu itu disedari pihak muzium pada hari yang sama menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). - Gambar fail
Seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan ditahan malam tadi kerana dipercayai mencuri sumbu badak milik Muzium Diraja Johor dua bulan lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pegawai kanan berumur 46 tahun itu baharu bertukar ke negeri ini sejak Ogos lepas ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sentral.
"Pengarah tersebut dipercayai mengambil sumbu haiwan tersebut ketika hendak pulang dari mesyuarat yang dihadirinya di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan pada 19 Oktober lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Ahmad Najmuddin berkata sumbu tersebut yang berusia lebih 100 tahun sedang dijemur di hadapan bangunan berkenaan.
Beliau berkata kehilangan sumbu itu disedari pihak muzium pada hari yang sama menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan individu berkenaan mengambil benda tersebut.
Bagaimanapun pengarah itu memulangkan semula sumbu badak tersebut menerusi pemandunya dua hari kemudian.
Pihak polis sedang mendapatkan perintah reman terhadap pengarah terbabit dankes disiasat kerana mencuri, katanya.
#Muzium Diraja Johor #pengarah #sumbu badak
;