Pengarah dipenjara, didenda RM2.25 juta kerana gagal hadir untuk siasatan - SC
Bernama
Julai 15, 2022 04:30 MYT
Julai 15, 2022 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mensabitkan kesalahan terhadap seorang pengarah syarikat bagi tiga kesalahan di bawah Seksyen 32(8)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Dalam kenyataan pada Jumaat, SC berkata Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mengenakan hukuman denda sebanyak RM100,00 dan penjara sehari bagi setiap tiga pertuduhan itu ke atas Pengarah CTB Solutions Sdn Bhd Amirruddin Nin.
"Kesalahan itu yang dilakukan antara 15 Jun, 2017 dan 18 Februari, 2020 adalah berhubung dengan kegagalan Amirruddin untuk hadir di hadapan pegawai penyiasat SC bagi pemeriksaan berkaitan siasatan pengubahan wang haram," kata suruhanjaya itu.
Menurut SC, Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun juga mendapati Amirruddin, 52, bersalah kerana terus menerus gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan SC untuk hadir bagi pemeriksaan iaitu selama 979 hari.
Mahkamah telah memerintahkan Amirruddin untuk membayar denda harian sebanyak RM2,000 dengan jumlah sebanyak RM1,958,000.
Jumlah denda keseluruhan terhadapnya berikutan sabitan itu adalah sebanyak RM2,258,000.
"SC ingin mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan untuk mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan oleh pegawai penyiasat SC adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang sekuriti kerana ini akan menghalang suruhanjaya melaksanakan fungsi penyiasatan dan penguatkuasaannya yang amat penting dalam mengekalkan integriti pasaran modal," kata SC.
CTB Solutions merupakan syarikat penyedia penyelesaian pengurusan armada Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) bersepadu yang fleksibel untuk pelbagai industri.
-- BERNAMA