Pengarah Bukan Eksekutif di salah sebuah subsidiari kumpulan AmBank disahkan positif COVID-19

Astro Awani
Mac 10, 2020 12:42 MYT
Perniagaan dan operasi Kumpulan AmBank akan berjalan seperti biasa.
AMMB Holdings Berhad (AMMB) hari ini memaklumkan bahawa seorang Pengarah Bukan Eksekutif di salah sebuah subsidiarinya telah disahkan positif COVID-19.
Dalam satu kenyataan kumpulan perbankan itu memaklumkan hasil pemeriksaan awal mendapati Pengarah terbabit tidak ada kontak langsung dalam tempoh 10 hari dengan mana-mana kakitangan atau melawati mana-mana premis Kumpulan AmBank.
"Kementerian Kesihatan sedang mengambil langkah menjejaki kontak langsung Pengarah Bukan Eksekutif tersebut. Mana-mana kakitangan yang berhubung dengan Pengarah Bukan Eksekutif tersebut dalam tempoh 14 hari terakhir telah dikuarantinkan dan akan menjalani pemeriksaan perubatan yang diperlukan.
"Antara langkah berjaga-jaga yang diambil oleh Kumpulan AmBank termasuk mengawal kemasukan pelawat ke premisnya, pemeriksaan suhu di lokasi berisiko tinggi, penyediaan topeng muka dan sanitari tangan, meningkatkan kekerapan dan intensiti pembersihan serta melaksanakan arahan perjalanan dan nasihat kepada semua kakitangan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu perniagaan dan operasi Kumpulan AmBank akan berjalan seperti biasa.
"Kumpulan AmBank akan terus bertanggungjawab dan telus dalam melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak berkepentingan, khususnya kakitangan dan para pelanggan.
"Pengarah Bukan Eksekutif tersebut kini sedang menerima rawatan di hospital kerajaan. Kumpulan AmBank berharap agar Pengarah tersebut diberikan kesembuhan dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu lagi.
#ambank #AMMB #AMMB Holdings Berhad #COVID-19 #koronavirus #Malaysia #Pengarah Bukan Eksekutif
;