Pengapungan harga ayam, pengguna perlu bijak buat perbandingan harga - FOMCA

Bernama
November 1, 2023 17:33 MYT
Pengguna disaran bijak memilih lokasi bagi membeli bahan mentah itu pada harga yang sesuai dengan kemampuan masing-masing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Susulan bermulanya pengapungan harga ayam hari ini, pengguna disaran bijak memilih lokasi bagi membeli bahan mentah itu pada harga yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.
Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata cara paling mudah untuk membuat perbandingan harga adalah melalui aplikasi mudah alih 'Price Catcher' yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Pengguna sudah boleh buat pilihan, bila harga diapungkan, maknanya harga itu dah kembali ke fitrah asal ekonomi iaitu penawaran dan permintaan," katanya kepada Bernama.
"Jadi kita sebagai pengguna boleh membuat pilihan terutamanya melalui aplikasi Price Catcher yang bukan sahaja boleh membuat perbandingan harga ayam, tetapi juga bahan lain. Jadi kita boleh tengok pasar raya mana yang menjual ayam (pada harga yang) lebih rendah," tambahnya.
Beliau turut menasihatkan pengguna untuk membuat laporan kepada KPDN sekiranya mendapati terdapat peniaga yang menaikkan harga ayam dengan ketara.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata meskipun harga ayam telah diapungkan, namun pihaknya tetap melakukan pemantauan berkala agar harga yang ditawarkan kepada pembeli adalah munasabah.
"Kita akan melakukan semakan terhadap dokumen tambahan diberikan oleh peniaga, jadi kita dapat lihat harga ditawarkan munasabah atau tidak," katanya sambil menambah kadar pengeluaran ayam di negeri itu adalah 15.4 juta sehari dan mencukupi untuk keperluan pengguna.
Di PERLIS, Pengarah KPDN negeri Norazah Jaapar berkata pihaknya komited melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam yang dikawal menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi memastikan tiada pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga.
Di TERENGGANU, Pengarah KPDN negeri Shaharuddin Mohd Kia berkata 117 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga menjalankan pemantauan di pasaraya dan pasar basah di seluruh negeri bagi memastikan tiada aktiviti manipulasi dan pengambilan untung secara berlebihan oleh peniaga.
Beliau turut menasihatkan pengguna untuk menggunakan aplikasi Price Catcher bagi menyemak lokasi yang menawarkan harga ayam berpatutan dan terendah di tempat masing-masing.
Di SABAH, Pengarah KPDN negeri Georgie Abas berkata pemantauan yang dilakukan pihaknya mendapati bekalan ayam di pasaran mencukupi, dijual pada harga berpatutan, dan tiada pembelian panik.
"Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sebagai langkah memastikan keberadaan bekalan di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang berpatutan," katanya.
-- BERNAMA
#Fomca #pengguna #Harga Ayam #pengapungan harga
;