Penganut Kristian di Kuching mengamati Hari Paska menerusi digital
Nickyson Nyambar
April 12, 2020 19:31 MYT
April 12, 2020 19:31 MYT
Sambutan minggu suci penganut Kristian di seluruh dunia agak berbeza tahun ini. Ini kerana penjarakan sosial perlu dipraktikkan susulan penularan pandemik COVID-19.
Sambutan minggu suci penganut Kristian bermula sejak Ahad lepas dengan Ahad Palma, Jumaat Agung diteruskan hingga ke Hari Paska hari ini.
Di Sarawak, pengamatan Hari Paska tetap diteruskan meskipun tanpa kehadiran jemaah.
Sebagai patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Gereja St. Basil, Batu Kawa, Kuching mengambil pendekatan dengan melaksanakan khutbah dan pengamatannya secara penstriman langsung atas talian.
Menurut Paderi Gereja St. Basil, Reverend Jose Jol, tahun ini ia sedikit berbeza kerana penularan COVID-19.
“Ini adalah pertama kali COVID-19 menular. Itu sebabnya kita memang tidak dapat berkumpul dengan orang ramai,” katanya ketika dihubungi wartawan AWANI Sarawak hari ini.
Dalam pada itu, hanya beberapa kakitangan sahaja yang dibenarkan berada di gereja.
Walaupun banyak pihak terjejas akibat waktu sukar ini pihak gereja tetap akan memikirkan alternatif terbaik bagi patuh pada arahan kerajaan.
Bagi penganut, Eva Ruth Nohe ia adalah wajar demi keselamatan orang ramai.
“Daripada menghadiri gereja seperti biasa, saya menonton Facebook live dengan bersama dengan rakan-rakan saya pada Hari Paska Ahad dan selepas berakhirnya sesi tersebut kami lakukan panggilan video di mana kami berkongsi apa yang kami dapati,” jelasnya.
Hari Paska diamati masyarakat Kristian setiap tahun dan selalunya disambut pada penghujung Mac atau pada awal April mengikut takwim Gregorius.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Easter Sunday
#Gereja St Basil
#HapuskanCOVID19
#Hari Paska
#Minggu Suci Kristian
#Sarawak