Penganut Hindu turut mendoakan keamanan Malaysia sempena Thaipusam

Astro Awani
Februari 3, 2015 20:08 MYT
Tinjauan Astro AWANI mendapati keadaan di sekitar kawasan itu penuh sesak dan jumlah pengunjung dijangka bertambah sehingga lewat malam ini. - Gambar Fail
Lebih daripada 100,000 penganut agama Hindu di Pulau Pinang, kebanyakannya dari Wilayah Utara, membanjiri Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga untuk membayar nazar.
Tinjauan Astro AWANI mendapati keadaan di sekitar kawasan itu penuh sesak dan jumlah pengunjung dijangka bertambah sehingga lewat malam ini.
Semua jalan menghala ke kuil tersebut menjadi sesak dengan kehadiran para penganut Hindu yang membawa kavadi dan para pelancong tempatan dan luar negara yang menyaksikan perayaan itu.
Penganut agama Hindu berarak membawa kavadi dan periuk susu 'pal koodam' serta memecahkan buah kelapa untuk membayar nazar dan menebus dosa.
Bagi penganut Hindu, R. Vicknesh, 26, dari Pulau Pinang berkata, tahun ini masuk tahun ke-10 dirinya melaksanakan nazar.
Beliau, yang mula melakukan upacara nazar sejak berusia 16 tahun berkata, nazar kali ini dilakukan sebagai menyatakan kesyukuran kerana kesihatan datuknya kembali pulih dan kesejahteraan keluarganya.
“Saya rasa sangat gembira kerana segala yang saya minta sebelum ini telah ditunaikan. Tuhan telah menunaikan permintaan saya supaya keluarga saya sihat dan sejahtera,” kata Vicknesh.
Selain mendoakan kesihatan dan kesejahteraan penganut agama Hindu juga mendoakan keselamatan negara serta rakyat negara ini agar hidup aman dan selamat.
Selain menerima pengunjung dari Pulau Pinang, Perak dan Kedah sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran para pelancong asing yang teruja dengan sambutan unik Thaipusam.
Dan bagi memastikan keadaan keselamatan serta lalu lintas terkawal, anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan dan Rela turut ditempatkan di kawasan berhampiran.
[GALERI FOTO]: KEMERIAHAN SAMBUTAN THAIPUSAM 2015
Beberapa buah jalan yang menjadi laluan utama pembawa kavadi ditutup secara berperingkat antaranya Jalan Datuk Keramat, Jalan Utama dan Jalan Air Terjun bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil ‘Thai’ yang berlaku pada bulan Januari atau Februari.
Turut dikenali sebagai Thaipooyam dalam bahasa Malayalam, perayaan ini bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.
Ia juga bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman.
#Hindu #keamanan #Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani #Malaysia #nazar #penganut #Thaipusam
;