Penganut Hindu sibuk lakukan persiapan akhir menjelang Deepavali

Bernama
November 11, 2023 19:02 MYT
Masyarakat India sibuk membeli-belah barangan seperti hiasan, manisan, bunga dan juadah tradisional bagi menyambut pesta cahaya itu. - Gambar/ Bernama
ALOR SETAR: Penganut Hindu di negeri ini mengambil kesempatan cuti hujung minggu hari ini untuk melakukan persiapan akhir dengan membeli barangan keperluan menjelang sambutan perayaan Deepavali esok.
Tinjauan Bernama di beberapa premis di sekitar bandar raya ini mendapati, masyarakat India masih sibuk membeli-belah barangan seperti hiasan, manisan, bunga dan juadah tradisional bagi menyambut pesta cahaya itu.
Pemilik sebuah premis yang menjual barangan persiapan Deepavali, Jacquelin Joseph, 49, berkata kedainya masih dikunjungi ramai sejak pagi tadi bagi membeli barangan khususnya makanan.
Walaupun harga sesetengah barangan sedikit meningkat berbanding sebelum ini, katanya keadaan itu tidak mematahkan semangat penganut Hindu untuk melakukan persiapan menyambut perayaan itu.
"Banyak barang kami masih kekal harga yang sama sebelum ini, yang naik pun macam muruku, biskut dan barang makanan, tapi untuk saat akhir ini memang ramai yang masih beli barangan makanan. Yang datang beli bukan sahaja orang India, tetapi kaum Cina dan Melayu juga beli barangan makanan yang ada," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Seorang lagi pemilik premis runcit K. Thinagaran, 39, berkata kedainya dikunjungi ramai orang pada sebelah pagi dan hari ini kedainya beroperasi hingga 12 tengah malam bagi memberi peluang kepada penganut Hindu membeli barang pada saat-saat akhir.
A. Gevan, 31, berkata dia mengambil peluang untuk membeli-belah sehingga saat akhir bagi memastikan persiapan menyambut perayaan itu mencukupi.
"Sebelum ini, saya sudah beli dan buat persiapan, tapi petang ini saya beli sedikit lagi barang untuk tambah apa yang kurang terutamanya makanan," katanya.
Sementara itu, di KELANTAN, masyarakat India sibuk menyediakan pelbagai juadah tradisi seperti muruku, achi muruku, Kallu Urundai, Nei Urundhei dan ladu untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang nanti.
S. Buveneswary, 31, berkata dia dan ibunya T. Kamala, 67, sudah menyiapkan lebih 10 jenis kudapan bermula seminggu lepas.
"Kita sudah membuat persediaan termasuk menyiapkan pelita api dan kolam (hiasan lantai tradisional) menggunakan beras yang diwarnakan, malah pada hari-hari terakhir ini kita akan membuat persediaan sembahyang.
"Hari ini kami merancang untuk membuat muruku, ibu juga sangat teruja menantikan kepulangan ahli keluarga lain bagi menyambut perayaan bersama-sama, malah kami telah membeli tiga persalinan pakaian baharu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Program Perumahan Rakyat (PPR) di Gua Musang.
-- BERNAMA
#Deepavali #2023 #Alor Setar #persiapan akhir
;