Penganut Hindu mula banjiri Batu Caves sempena Thaipusam esok

Bernama
Februari 2, 2015 10:02 MYT
Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggai 'Thai'. - Gambar fail
Kemeriahan sambutan perayaan Thaipusam di ibu kota esok mula terasa sejak malam tadi apabila ribuan penganut Hindu mengikuti perarakan berhala membawa Dewa Muruga dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S.Lee di sini ke Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves.
Perarakan arca di atas pedati perak sejauh 13km mula bergerak pada pukul 10 malam tadi dengan diiringi lebih 10,000 penganut pelbagai peringkat umur dan dijangka tiba di pekarangan kuil di Batu Caves lewat petang ini.
Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil 'Thai' bagi memperingati hari lahir Dewa Muruga iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.
Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Muruga menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia.
Setiausaha Kehormat, Kuil Sri Maha Mariamman, R.T. Sundaram berkata lebih 1.6 juta penganut Hindu termasuk pelancong asing dijangka menyertai sambutan ke-125 perayaan Thaipusam di Batu Caves tahun ini.
Selain pengunjung, lebih 200,000 penganut agama ini akan terlibat dalam acara keagamaan tahunan ini, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata acara kemuncak perayaan itu ialah apabila perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai di atas pedati perak itu kembali ke Kuil Sri Maha Mariamman kira-kira pukul 4 petang, Rabu ini.
Sundaram berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengadakan tinjauan mesra selain menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di Batu Caves pada pukul 10 pagi esok.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran foto sempena 125 tahun pembangunan Batu Caves sejak tahun 1891 di pejabat kuil Batu Caves sehingga 8 Feb ini.
Sempena perayaan itu, penganut juga akan menunaikan nazar mereka dengan menjunjung 'Paal Kudam' (belanga susu) yang dianggap paling suci, menjunjung 'kavadi' yang dihiasi cantik dengan menaiki 272 anak tangga tangga Batu Caves menuju ke kuil di dalam gua itu.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Batu Caves mendapati ribuan penganut mula melaksanakan nazar dengan mencukur rambut dan berjalan kaki membawa belanga berisi susu bagi memenuhi niat dan berdoa kepada kesejahteraan mereka dan seluruh kaum keluarga.
Seorang penganut, G Ayanar, 68, dari Felda Palung 8, Negeri Sembilan, yang ditemui bersama kenalannya, K. Murali, 43 dan cucu G. Kesavan, 17, berkata mereka sanggup berjalan kaki dari Senawang melalui Sungai Besi, Kuala Lumpur sejak Sabtu lepas bagi menunaikan nazar di kuil Batu Caves.
"Saya masih ingin mengekalkan acara tradisi (berjalan kaki sejauh 70km) menjalankan tangggungjawab menyambut Thaipusam setahun sekali untuk ke kuil Batu Caves bagi mendoakan keberkatan kepada seluruh anggota keluarga," katanya.
Murali berkata beliau akan mencukur rambutnya bagi membayar nazar atas kesejahteraan kepada seluruh anggota keluarga selepas terselamat daripada kejadian samun yang menimpanya pada 2010.
Kesavan pula melahirkan rasa teruja dapat berpeluang bersama-sama datuknya bagi meneruskan tradisi itu sempena perayaan Thaipusam.
#Batu Caves #kavadi #Najib Tun Razak #nazar #R.T. Sundaram #Thaipusam