Pengantin baru urus jenazah COVID-19

Adie Sufian Zulkefli
Disember 14, 2021 04:01 MYT
Selama tempoh tiga bulan pasangan ini telah menguruskan pengebumian lebih 15 jenazah yang meninggal akibat COVID-19. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Semalam bersanding hari ini uruskan jenazah pesakit COVID-19.
Demikian semangat ditunjukkan pasangan pengantin baharu Muhammad Ridzuan Osman, 34, dan Nur Afifah Habib, 26, di Sungai Petani.
Pasangan yang diijab kabul dan bersanding di Permatang Berangan, Tikam Batu ini tidak menyangka sama sekali hari ini mereka akan menguruskan jenazah pesakit COVID-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin, Sungai Layar jam 5 petang Selasa.
Muhammad Ridzuan, yang juga ketua operasi Team Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul, Murtadha Dakwah Centre (Madad), berkata, sebaik mendapat perkhabaran terdapat jenazah untuk diuruskan dia segera memaklumkan kepada isterinya.
“Isteri saya bersetuju dan kami segera pergi mengambil jenazah di Hospital Sultan Abdul Halim dan membawanya ke tanah perkuburan.
“Kami bersama rakan sukarelawan lain sama-sama membantu menyelesaikan pengebumian jenazah lelaki berusia 80 tahun,” katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu Nur Afifah yang berkerja di sebuah restoran makanan Korea tampak tidak kekok memegang cangkul.
“Saya menyertai Team Hang Cangkul ini sejak tiga bulan lalu dan di sinilah cinta saya dan suami mula berputik.
“Kami mula mengenal hati budi masing-masing dan suami mula melamar saya untuk dijadikan isteri.
“Telah lama saya mengimpikan untuk menyertai badan sukarelawan dan kini saya sudah menemuinya,” ujar Nur Afifah.
Selama tempoh tiga bulan pasangan ini telah menguruskan pengebumian lebih 15 jenazah yang meninggal akibat COVID-19.
Mengakui pandemik COVID-19 menjadi penyakit yang amat menggerunkan di negara ini sejak dua tahun lalu, di mana ia telah mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi.
Namun tanggungjawab menyempurnakan jenazah pesakit COVID-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pakaian perlindungan diri (PPE), sarung tangan, pelindung muka dan lain-lain tidak pernah diabaikan pasangan ini.
Jelas pengantin baharu ini, mereka akan terus melakukan keja sukarelawan ini sampai bila-bila.
Bagi pasangan ini, pengalaman memakai PPE membuatkan mereka menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang masih bertungkus-lumus merawat pesakit COVID-19.
#pasangan pengantin baru #COVID-19 #Muhammad Ridzuan Osman #Nur Afifah Habib
;