Pengantin baru tersungkur atas jalan elak sekatan polis
Astro Awani
Februari 21, 2014 09:40 MYT
Februari 21, 2014 09:40 MYT
Gara-gara ingin mengelak daripada sekatan pemeriksaan polis, sepasang pengantin baru tersungkur di atas jalan raya.
Lelaki dan wanita yang baru sebulan berkahwin terbabit dilaporkan memecut motosikal sambil mengelak sekatan dalam operasi polis di Lebuh raya Darulaman di sini pada kejadian 12.00 tengah malam tadi, namun hilang kawalan dan terbabas.
Hasil pemeriksaan, polis menemui sebotol air ketum di dalam raga motosikal mereka dan lelaki terbabit turut didapati tidak memiliki lesen memandu serta motosikal yang ditunggangi tiada cukai jalan.
Lelaki itu berusia 19 dan manakala isterinya yang mendakwa masih bersekolah berusia 17 tahun.
Pasangan terbabit turut membawa surat nikah dan berasal dari Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah.
Lelaki itu merayu agar dilepaskan dengan alasan ingin menziarahi neneknya yang sakit dan air ketum yang dibawanya hanya sekadar untuk memberi tenaga.
Pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis Alor Setar untuk siasatan dan motosikal mereka disita.
Sementara itu, dalam operasi bagi membanteras samseng jalanan itu, seorang lagi lelaki ditahan kerana bersikap biadap terhadap anggota polis yang membuat pemeriksaan terhadapnya.
Lelaki terbabit enggan memberikan kerjasama dan tidak mengendahkan arahan polis serta meninggikan suara sambil merunggut.
Operasi yang bermula pukul 9 malam dan berakhir pada jam 3 pagi itu melibatkan 200 orang anggota dan sukarelawan polis yang diketuai oleh Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Supt Mat Khir Jaafar.
Mat Khir berkata, polis mengeluarkan puluhan saman di atas pelbagai kesalahan jalan raya di samping menyita beberapa buah motosikal kerana tidak memiliki geran dan cukai jalan.
“Kita mengharapkan supaya masyarakat dan juga boleh memberi kerjasama kepada polis, supaya kerjasama untuk membenteras jenayah ni adalah untuk bersama. Saya harap masyarakat setempat di daerah Kota Setar faham dengan tugas dan tanggungjawab polis,” ujarnya.