Penganjuran sukan esktrem mampu naikkan nama Temerloh
Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 3, 2018 07:02 MYT
Ogos 3, 2018 07:02 MYT
Lebih banyak penganjuran aktiviti sukan ekstrem mampu menaikkan nama Temerloh sebagai destinasi pelancongan popular di negeri Pahang.
Menurut salah seorang pengasas aktiviti sukan itu di daerah ini, Mohd Lizan Harun, penganjuran aktiviti sukan lasak seperti motocross dapat menarik minat lebih ramai penggemar sukan itu dari dalam dan luar negara untuk datang ke Temerloh.
Beliau juga yakin daerah Temerloh berpotensi menjadi lokasi utama sukan ekstrem di Malaysia sekiranya mendapat sokongan penuh pihak yang berkaitan.
Buat masa ini Litar Paya Besar yang dibuka semula secara rasmi pada 6 Mei lalu merupakan satu-satunya litar yang dibina khas untuk peminat sukan ekstrem motocross di Pahang.
Ujar Mohd Lizan, litar tersebut dibina atas hasil usaha dan wang poket beliau sendiri bersama sebuah persatuan motor ekstrem, KKO6 dengan modal awal berjumlah RM30,000.
“Buat masa ini pihak kami dapat menyediakan modal yang kita usaha sendiri tanpa bantuan dari mana mana pihak.
“Harapan saya kalau ada pihak dapat memajukan lagi trek ini saya sangat berbesar hati untuk kami, meningkatkan lagi prestasi litar motorcross kami,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Mohd Lizan yakin sekiranya litar itu ditambah baik dan dinaiktaraf pasti ianya dapat menaikkan lagi nama Temerloh sebagai destinasi kejohanan motocross pada skala besar.
“Lebih baik kita tumpukan kepada trek yang kita ada untuk tarik rakan-rakan belia untuk terus datang ke litar ini dan mencuba sendiri.
"Ini kerana, anak-anak muda sekarang lebih terjerumus kepada aktiviti lumba haram. Justeru, di sini kami buka litar ini secara percuma untuk beri peluang kepada mereka mencuba sukan ekstrem permotoran," tambahnya.
Beliau juga berharap ada badan-badan berkuasa yang peka dengan isu ini agar anak-anak muda di bandar yang sinonim dengan bandar ikan patin ini tidak terjerumus dalam aktiviti merbahaya seperti merempit.
Platform yang dibina ini sememangnya khas buat anak-anak muda dan peminat motocross untuk merasai keseronokkan melakukan aktiviti sukan ekstrem tersebut yang mungkin dapat melahirkan bintang yang dapat mengharumkan nama negara pada satu hari nanti.
#Litar Paya Pulai
#Mohd Lizan Harun
#motorcross
#Pahang
#permotoran
#pihak berkuasa
#sukan ekstrem
#sukan lasak
#temerloh