Penganjuran SOLITY’23 beri impak positif kepada mahasiswa
Astro Awani
Disember 24, 2023 13:31 MYT
Disember 24, 2023 13:31 MYT
SINTOK: Peserta SMMTC Outbound Mobility Programme (SOLITY’23) berharap program tersebut akan terus diperkasa bagi membantu perkembangan mahasiswa dan mendedahkan mereka kepada ekosistem antarabangsa.
SOLITY’23 melibatkan 20 mahasiswa Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, SMMTC Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menjadi duta universiti bagi melaksanakan program di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada bulan Mei lalu.
Menurut salah seorang peserta, Nur Anissyazwani Mohd Noor, aktiviti yang paling menarik perhatiannya adalah mereka bentuk kandungan video bersama-sama mahasiswa Universitas Mercu Buana, Indonesia.
Bukan sahaja aktiviti itu memberi pendedahan kepada budaya Indonesia, tetapi ia juga membantu pembangunan dirinya sebagai mahasiswa dari aspek komunikasi, penerapan nilai murni dan inovasi.
Selain Universitas Mercu Buana, delegasi SOLITY’23 turut menyertai program akademik di Universitas Pancasila dan Politeknik Tempo.
Ameerah Farihah Shari dan Anis Najwa Mohd Isham pula berkata, mahasiswa yang menyertai misi tersebut berpeluang bertukar budaya dan memupuk kerjasama antarabangsa bersama mahasiswa dari Indonesia.
Selain aktiviti akademik, mahasiswa terlibat turut didedahkan dengan seni kebudayaan dan makanan tempatan yang terkenal dalam kalangan penduduk di sana.
Seorang lagi mahasiswa SMMTC, Muhammad Amir Afiq Jazlan berkongsi pengalaman silang budaya yang membantu perkembangan beliau sebagai mahasiswa Teknologi Media seperti kemahiran menguasai bahasa baharu dan membina pandangan global.
Bagi Thaviga Mahadewan dan Vasandaruban Anan pula, penyertaan di dalam SOLITY’23 memberi pendedahan yang diperlukan sebagai mahasiswa SMMTC dari segi penguasaan komunikasi dan mendalami budaya serantau selama seminggu bermula 1 Disember lalu.
#SOLITY 23
#UUM
#pendidikan tinggi
#mahasiswa
#SMMTC
#Universitas Pancasila
#Politeknik Tempo
#Universitas Mercu Buana