Penganjuran debat wajar diteruskan pada PRU15 - Noh

Sinar Harian
Mei 14, 2022 07:15 MYT
Noh (tiga dari kanan) bergambar bersama guru dan wakil ibu bapa pada Mesyuarat Agung Tahunan PIBG dan Pelancaran Program Unified Digital Library di Dewan SK Sungai Burung pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
TANJONG KARANG: Penganjuran debat antara pemimpin politik wajar diteruskan termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, penganjuran debat sudah diamalkan di kebanyakan negara terutama dalam proses memilih pemimpin.
"Pandangan saya, debat ini boleh diteruskan pada PRU15 kerana banyak negara memilih cara sebegini," katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pelancaran Program Unified Digital Library di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burung pada Sabtu.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, penganjuran debat antara pemimpin berbeza ideologi politik membolehkan rakyat mengetahui sesuatu isu yang diketengahkan dengan lebih jelas.
"Saya sendiri pun pernah berdebat dengan Rafizi Ramli (bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat) yang dianjurkan sebuah universiti," katanya.
Beliau berkata, debat pada masa ini dibuat secara lebih meluas termasuk melalui platform digital.
"Pemimpin boleh memberikan pandangan dan ia disiarkan secara langsung dalam talian yang mana rakyat boleh menilai sendiri pandangan pemimpin parti politik," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
.
#Noh Omar #penganjuran debat #PRU15 #pemimpin politik
;