Penganjur program jati diri wajib bentang modul kepada sekolah, PPD - Mahdzir

Rahimah Abdullah
Oktober 19, 2016 14:20 MYT
MAHDZIR: "Program seumpama itu yang melibatkan jati diri pelajar boleh diteruskan tetapi tidak melibatkan perkara yang boleh menimbulkan trauma pelajar." - Foto Bernama
Kementerian Pendidikan membenarkan program pembinaan jati diri diteruskan asalkan tiada sebarang perkara yang menimbulkan trauma pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan, penganjur bagaimanapun diwajibkan memberi penerangan lanjut mengenai modul program kepada pihak sekolah mahupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Program seumpama itu yang melibatkan jati diri pelajar boleh diteruskan tetapi tidak melibatkan perkara yang boleh menimbulkan trauma pelajar.
"Jadi program, penganjur minta buat pengesahan daripada pihak sekolah dan kalau sekolah minta pada Pejabat Pendidikan Daerah PPD sebagai contoh, biarlah PPD itu yang panggil penganjur buat sedikit ulasan, kami buat ini, dua hari semalam ini program dia, seperti lari, senaman, tidur dalam khemah, namun tidak berlaku seperti insiden (libat ular) ini, kita tidak benarkan," katanya dalam sidang media selepas Pehimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua murid yang terlibat dengan kem jati diri di Kuala Kangsar sudah diberikan kauseling susulan insiden jurulatih Angkatan Pertahanan Awam (APM) mencampakkan ular ke dalam kolam semasa latihan berkenaan.
"Kalau program jati diri di bawah Kementerian Pendidikan kita sudah tau (ambil maklum). Contoh nak bawa pelajar itu ke program kokurikulum, memang sudah ada modul. Sebagai contoh Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan sudah ada modul, itu di bawah kementerian," katanya lagi.
Kementeriannya juga memandang serius insiden di kem jati diri di Kuala Kangsar dan menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku.
"Sekolah melalui PPD membenarkan pelajar membuat aktiviti luar bilik darjah iaitu jati diri tetapi sampai situ agensi terlibat pergi uji pelajar dengan binatang ular pula," kata Mahdzir.
Jelasnya, kerjasama program jati diri dengan pelbagai agensi telah dilakukan sejak sekian lama.
"Kita ada program lama dah. Kita ada kerjasama dengan polis, tentera, APM, dan bomba," ujarnya.
Ditanya mengenai tindakan ke atas individu yang merakam dan menyebarkan video di kem jati diri di Kuala Kangsar, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis jika ada siasatan dari pihak berkuasa berkenaan.
#Kem jati diri #Mahdzir Khalid #Menteri Pelajaran #program pembinaan jati diri #ular
;