Penganjur, peserta Bersih 4 miskin semangat patriotik Najib
Bernama
Ogos 29, 2015 14:25 MYT
Ogos 29, 2015 14:25 MYT
Penganjur dan peserta perhimpunan haram Bersih 4 "cetek dan miskin" semangat patriotik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata walaupun berbeza fahaman politik, mereka sepatutnya menghayati Hari Kebangsaan yang akan disambut Isnin ini dengan mengibar Jalur Gemilang sebagai menghargai jasa pejuang negara yang membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.
"Kita nak sambut kemerdekaan, ada orang nak tunjuk perasaan di tempat bersejarah iaitu di Dataran Merdeka.
"Tak faham ke mereka ini, cetek dan miskin sangat ke semangat patriotik cintakan tanah air. Tak faham ke mereka yang negara kita terbina atas darah dan keringat pejuang-pejuang tanah air.
"Daripada zaman Mat Kilau, Tok Janggut dan pejuang UMNO sehingga ke perajurit serta polis kita mati syahid kerana nak pastikan kemerdekaan negara," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut Ahmad Nazlan Idris.
Terdahulu ketibaan Najib, yang juga Presiden UMNO, disambut lebih 5,000 pemimpin dan anggota UMNO serta orang ramai selain diiring dengan paluan gendang serta silat sendeng oleh Pemuda Jerantut.
Mengulas lanjut tentang perhimpunan itu, Najib berkata tindakan pihak berkenaan yang menganjurkannya dilihat seolah-olah sengaja ingin mencemarkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Orang yang pakai baju kuning ini siapa dia, hendak mencemar nama baik kita, hendak menconteng arang pada muka Malaysia pada dunia luar padahal negara inilah negara mereka, kerana perjuangan UMNOlah mereka berjaya," katanya.
Dalam masa sama, Najib berkata dalam keadaan parti yang menghadapi cabaran getir pada masa kini, anggota dan pemimpin UMNO perlu mematuhi disiplin serta memiliki sifat kasih dan sayangkan parti untuk memperteguhkan parti.
"Apabila terlalu kasih dan sayang kepada parti maka kita tidak akan lakukan perkara yang boleh menjejas kepentingan parti.
"Kalau ada perbezaan pendapat, ada batasannya, ada adabnya, ada salurannya untuk menegur kerana dalam parti ada disiplin dan kita perlu jaga proses ini.
"Bukan UMNO tidak benarkan perbezaan pendapat, malah saya juga terbuka, tetapi perlu patuh kepada disiplin, barulah parti menjadi organisasi yang berjaya," kata Najib.
Perdana Menteri berkata sebarang berita yang dibaca termasuk di media sosial perlu diperiksa kebenarannya untuk mengelakkan ia menjadi fitnah sekaligus boleh menghancurkan parti.
Katanya sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah negara itu boleh tumbang hanya disebabkan fitnah dan pembohongan.
"Paradigma kini sudah terbalik, apa yang dilaporkan dalam media sosial dipercayai lebih daripada media utama. Jangan benarkan mainan persepsi atasi realiti," katanya.
Selain itu beliau turut meminta rakyat supaya tidak hanya menyalahkan kerajaan berikutan masalah seperti kejatuhan nilai matawang negara serta komoditi utama negara seperti getah dan sawit.
Ini kerana, katanya ia banyak ditentukan oleh fakor luaran dan ia terbukti apabila nilai matawang negara lain seperti Dollar Australia dan New Zealand juga mengalami kejatuhan ekoran kemelesetan ekonomi dunia pada masa kini.