'Penganjur perhimpunan tidak kebal undang-undang'
Astro Awani
Januari 10, 2013 13:29 MYT
Januari 10, 2013 13:29 MYT
Akta Perhimpunan Awam 2012 tidak memberi hak mutlak kepada penganjur perhimpunan dan mereka juga tidak kebal daripada undang-undang.
Justeru pakar undang-undang, Dr. Salleh Buang berkata, penganjur perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan polis.
Menurut Salleh, akta tersebut diwujudkan bagi menjaga ketenteraman awam.
Dia juga memberi keseimbangan kepada penganjur dan peserta perhimpunan, polis serta orang awam yang terlibat termasuk peniaga di sekitar kawasan terbabit.
Jika penganjur melanggar syarat yang ditetapkan mereka boleh diperintahkan oleh polis untuk bersurai.
Salleh mengulas perhimpunan yang bakal dianjurkan pembangkang di Stadium Merdeka, Sabtu ini.
Sementara itu bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan menegaskan peserta dan penganjur perhimpunan perlu bertanggungjawab dalam soal ketenteraman awam.
Tegas Ragunath walaupun kebenaran telah diberikan untuk perhimpunan kali ini, namun undang-undang lain seperti akta hasutan dan rusuhan tetap akan berkuatkuasa seperti biasa.
Beliau juga menegaskan perhimpunan sebenarnya bukan medan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati semata-mata.
Ia adalah hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.