Penganjur perhimpunan pemantau Malaysia Baharu akan disiasat
Astro Awani
Julai 17, 2018 18:55 MYT
Julai 17, 2018 18:55 MYT
Polis akan memanggil penganjur perhimpunan tanpa permit yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagaimanapun, perhimpunan itu dalam keadaan terkawal dan berjaya disuraikan dengan baik tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
"Pemantau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini kalau kita tengok tidak ramai. kehadiran dalam 60 hingga 70 orang. Mereka juga tidak berarak.
"Namun, perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana tidak mendapat permit di bawah Akta Perhimpunan Aman. Kita juga akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Balai Polis Bukit Jalil di sini pada Selasa.
Pagi ini, kira-kira 100 penyokong pemantau Malaysia Baharu berkumpul bagi menunjukkan solidariti kepada Yang di-Pertuan Agong dan membantah parti DAP yang didakwa memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad.
#akta perhimpunan aman
#Bukit Aman
#Ketua Polis Kuala Lumpur
#Mazlan Lazim
#Pemantau Malaysia Baharu
#undang-undang