Penganjur himpunan di Dataran Merdeka akan dikompaun - Polis
Nailah Huda
Julai 17, 2021 18:31 MYT
Julai 17, 2021 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Penganjur satu perhimpunan di Dataran Merdeka yang melibatkan 20 individu hari ini akan dikompaun, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu, siasatan awal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti tiga individu sebagai penganjur himpunan tersebut.
“Kesemua mereka yang terlibat ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dikompaun atas keselahan pelanggaran Peraturan 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun,” kata Mohamad Zainal.
Siasatan turut dijalankan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa notis.
Menurutnya, seramai 20 individu berkumpul di padang Dataran Merdeka sambil mengibarkan bendera hitam dan membawa sepanduk selain membawa lima patung menyerupai jenazah yang dikafan.
Gambar-gambar dan rakaman video himpunan tersebut menunjukkan kesemua peserta himpunan memakai pelitup muka, serta beberapa peserta turut memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).
“Kumpulan ini diketuai oleh Sekretariat Solidariti Rakyat yang merupakan gabungan parti politik iaitu Parti Muda, Pejuang, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Semasa himpunan tersebut berlangsung, telah dilancarkan kempen puisi #PuisiDarurat bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan,” menurut Mohamad Zainal.
Tambahnya, sekitar jam 3 petang, Polis Daerah Dang Wangi yang diketuai Supt Naazron Abdul Yusoff bersama Pasukan Pematuhan PKP telah mengarahkan kumpulan tersebut supaya bersurai dan beredar dari lokasi.
Peserta demonstrasi tersebut kemudian bersurai dan beredar dari Dataran Merdeka pada jam 3.10 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
#himpunan
#lawan
#Dataran Merdeka
#bendera hitam
#kompaun
#Sekretariat Solidariti Rakyat
#muda
#Pejuang
#Amanah
#Parti Keadilan Rakyat
#COVID-19
#Muhyiddin Yassin